BERBAGI

Sambungan Siri 4..

  1. Kebebasan

Adapun idea kebebasan individu, sesungguhnya merupakan salah satu idea yang paling menonjol dalam demokrasi. Idea ini dianggap sebagai salah satu asas penting dalam demokrasi, sebab dengan idea ini tiap-tiap individu akan dapat melaksana dan menjalankan kehendaknya menurut apa yang diingininya tanpa tekanan atau paksaan. Rakyat dianggap tidak akan dapat menzahirkan kehendaknya kecuali dengan adanya kebebasan individu bagi seluruh rakyat.

Kebebasan individu merupakan suatu ajaran suci dalam sistem demokrasi, sehingga baik negara mahupun individu, tidak dibenarkan melanggarnya. Sistem demokrasi kapitalis menganggap bahawa adanya peraturan yang bersifat individualistik serta pemeliharaan dan penjagaan terhadap kebebasan individu, merupakan salah satu tugas utama negara.

Kebebasan individu yang dibawa oleh demokrasi bukanlah bermaksud pembebasan bangsa-bangsa yang terjajah dari negara-negara penjajahnya yang telah mengeksploitasi dan merampas kekayaan alamnya. Ini kerana, idea penjajahan adalah salah satu hasil daripada idea kebebasan kepemilikan, yang justeru dibawa oleh demokrasi itu sendiri. Dengan kata lain, idea kebebasan kepemilikan di bawah demokrasi-lah yang menyebabkan mereka menjajah dan merampas harta kekayaan negara lain.

Demikian pula kebebasan individu bukanlah bermaksud pembebasan dari perhambaan, kerana sistem perhambaan sudah tidak lagi wujud pada masa ini.

Jadi, tiada lain yang dimaksud dengan kebebasan individu kecuali empat jenis/bentuk kebebasan berikut ini:-

  • Kebebasan berakidah/beragama.
  • Kebebasan berpendapat.
  • Kebebasan berkepemilikan.
  • Kebebasan bertingkah laku.

Sesungguhnya keempat-empat jenis kebebasan ini tidak ada dalam kamus Islam, sebab seseorang Muslim itu wajib mengikatkan dirinya dengan hukum syarak dalam seluruh perbuatannya. Seorang Muslim tidak dibenarkan berbuat sekehendaknya. Dalam Islam tidak ada yang namanya kebebasan kecuali kebebasan hamba daripada perhambaan, sedangkan sistem perhambaan itu sendiri sudah lenyap sejak sekian lama.

Justeru, keempat-empat bentuk kebebasan tersebut sangat bertentangan dengan Islam dalam segala aspeknya sebagaimana penjelasan kami berikutnya:-

  • Kebebasan Berakidah/Beragama

Kebebasan berakidah/beragama bererti seseorang itu berhak meyakini akidah apa pun yang dikehendakinya, atau memeluk agama apa pun yang disenanginya, tanpa tekanan atau paksaan. Dia berhak pula meninggalkan akidah dan agamanya, atau berpindah kepada akidah baru, agama baru, atau berpindah kepada kepercayaan non-agama (animisme/paganisme). Dia berhak pula melakukan semua itu sebebas-bebasnya tanpa ada tekanan atau paksaan. Jadi, di bawah sistem demokrasi, seorang Muslim misalnya, berhak menukar agama untuk memeluk agama Kristian, Yahudi, Buddha atau Komunisme dengan  sebebas-bebasnya, tanpa boleh ada larangan baginya dari negara atau pihak lain untuk melakukan semua itu.

Sedangkan dalam Islam, Islam telah mengharamkan seorang Muslim meninggalkan akidah Islamiyah atau murtad untuk memeluk agama Yahudi, Kristian, Buddha, komunisme atau kapitalisme. Siapa sahaja yang murtad dari agama Islam, maka dia akan diminta untuk bertaubat. Jika dia bertaubat dan kembali kepada Islam, itulah yang diharapkan. Tetapi jika tidak, maka dia akan dijatuhi hukuman mati, disita hartanya dan diceraikan dari pasangannya. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ بَدَّلَ دِيْنَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Barangsiapa mengganti agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia” [HR Muslim dan As-habus Sunan].

Manakala jika yang murtad adalah sekelompok orang, dan mereka tetap berdegil untuk murtad setelah diminta bertaubat, maka mereka akan diperangi hingga mereka kembali kepada Islam atau dibinasakan. Hal ini seperti yang pernah terjadi pada orang-orang murtad setelah wafatnya Rasulullah SAW tatkala Abu Bakar memerangi mereka dengan sengit hingga sebahagian orang yang tidak terbunuh kembali kepada Islam.

  • Kebebasan Bependapat

Adapun kebebasan berpendapat dalam sistem demokrasi, membawa maksud bahawa setiap individu berhak untuk mengembangkan pendapat atau idea apa pun, bagaimana pun jua pendapat atau idea itu. Dia berhak pula menyatakan atau menyerukan idea atau pendapat itu dengan sebebas-bebasnya tanpa ada syarat atau batasan apa pun, bagaimana pun jua idea dan pendapatnya itu. Dia berhak pula mengungkapkan idea atau pendapatnya itu dengan cara apa pun, tanpa ada larangan baginya untuk melakukan semua itu baik dari negara atau pihak lain, selama dia tidak mengganggu kebebasan orang lain. Maka setiap larangan untuk mengembangkan, mengungkapkan dan menyebarluaskan pendapat, akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap kebebasan.

Adapun ketentuan ajaran Islam dalam hal ini sangatlah berbeza di mana seluruh perbuatan dan perkataan seseorang Muslim adalah tidak bebas, tetapi wajib terikat dengan syarak dan tidak boleh melangkaui apa yang terkandung dalam nas-nas syarak. Dengan demikian, seorang Muslim tidak boleh melakukan suatu perbuatan atau mengucapkan suatu perkataan kecuali jika dalil-dalil syarie membolehkannya.

Seseorang Muslim berhak mengembangkan, menyatakan dan menyerukan pendapat apa pun, selama mana dalil-dalil syarie membolehkannya. Tetapi jika dalil-dalil syarie melarangnya, maka dia tidak boleh mengembangkan, menyatakan atau menyerukan pendapat tersebut. Jika dia tetap melakukannya, dia telah melakukan dosa dan mesti dikenakan uqubat (hukuman).

Jadi seorang Muslim itu wajib terikat dengan hukum-hukum syarak dalam mengembangkan, menyatakan dan menyerukan suatu pendapat. Dia tidak bebas untuk melakukan semahunya.

Islam bukanlah menyekat “kebebasan” umatnya, tetapi mengaturnya dengan hukum syarak atau dengan kata lain mengaturnya dengan perintah dan larangan Allah SWT. Setiap Muslim boleh melakukan apa sahaja atau bercakap semahunya selama perbuatan atau pertuturannya masih dalam ruang lingkup hukum syarak. Malah, Islam mewajibkan seseorang Muslim untuk mengucapkan perkataan yang benar di setiap waktu dan tempat. Dalam hadis Ubadah bin As-Samit RA, disebutkan:

…وَ أَنْ نَقُولَ بِالحَقِّ حَيْثُمَا كُنَّا ، لاَ نَخَافُ فِي اللهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ

“…dan kami akan mengatakan kebenaran di mana pun kami berada. Kami tidak takut kerana Allah terhadap celaan orang yang mencela.”

Lebih daripada itu, Islam telah mewajibkan kaum Muslimin untuk menyampaikan nasihat kepada penguasa dan sentiasa memerhati serta memuhasabah tindakan mereka. Diriwayatkan dari Ummu Athiyah dari Abu Said RA, bahawa  Rasulullah SAW bersabda,

أَفْضَلُ الجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

“Jihad yang paling utama adalah (menyampaikan) perkataan yang haq kepada penguasa yang zalim.”

Diriwayatkan pula dari Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seseorang pada saat melempar jumrah aqabah, “Jihad apa yang paling utama, wahai Rasulullah? Maka Rasulullah SAW menjawab,

كَلِمَةُ حَقٍّ  تُقَالُ عِنْدَ ذِي سُلْطَانٍ جَائِرٍ

“Menyampaikan perkataan yang haq kepada penguasa yang zalim.”

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis yang lain,

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ وَ رَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَنَصَحَهُ فَقَتَلَهُ

“Pemimpin para syuhada adalah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, lalu dia menasihati penguasa tersebut, kemudian penguasa itu membunuhnya.”

Apa yang disebut di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW di atas bukanlah suatu bentuk kebebasan berpendapat sebagaimana yang terdapat dalam ajaran demokrasi, melainkan kebolehan dan kewajipan penyampaian kalimah yang haq (benar) dalam ruang lingkup yang dibenarkan atau diperintahkan oleh syarak, yakni kebolehan menyampaikan pendapat dalam satu keadaan dan kewajipan menyampaikan pendapat dalam keadaan lain. Kesimpulannya, setiap Muslim tidak bebas berkata apa sahaja semahunya, tetapi wajib memerhatikan lisan dan perbuatannya agar sentiasa patuh kepada hukum-hukum syarak, kerana setiap Muslim itu wajib terikat dengan hukum syarak.

  • Kebebasan berkepemilikan.

Adapun kebebasan berkepemilikan – yang telah melahirkan sistem ekonomi kapitalisme, yang selanjutnya melahirkan idea penjajahan terhadap bangsa-bangsa di dunia serta perampasan kekayaan alamnya – membawa maksud bahawa seseorang boleh memiliki harta (modal) dan boleh mengembangkannya dengan sarana dan cara apa pun. Seorang penguasa dianggap berhak memiliki harta dan mengembangkannya melalui imperialisme, perampasan dan pencurian harta kekayaan alam dari bangsa-bangsa yang dijajah. Seseorang dianggap berhak pula memiliki dan mengembangkan harta melalui cara penimbunan (ihtikar), riba, berlaku curang (tadlis), menipu dengan menyembunyikan cacat barang dagangan, menetapkan harga tinggi secara tidak wajar (ghaban al-fahish), berjudi, pelacuran, homoseksual, mengeksploitasi tubuh wanita, memproses  dan menjual arak, rasuah atau menempuh cara-cara lainnya.

Sedangkan ajaran Islam, sangat bertentangan dengan idea kebebasan kepemilikan harta di bawah demokrasi kapitalis. Islam telah memerangi idea penjajahan bangsa-bangsa serta idea perampasan dan penguasaan kekayaan alam bangsa-bangsa di dunia. Islam juga menentang praktik riba baik yang berlipat ganda mahupun yang sedikit. Seluruh jenis riba adalah dilarang. Di samping itu Islam telah menetapkan adanya sebab-sebab kepemilikan harta (asbab tamalluk al-mal), sebab-sebab pengembangannya (asbab tanmiah) dan cara-cara pengelolaannya (kaifiyah at-tasarruf). Islam mengharamkan ketentuan-ketentuan lain di luar semua itu.

Islam mewajibkan seseorang Muslim untuk terikat dengan hukum-hukum syarak dalam usahanya untuk memiliki, mengembangkan, dan mengelola harta. Islam tidak memberikan kebebasan kepadanya untuk mengelola harta sekehendaknya, tetapi Islam telah mengikatnya dengan hukum-hukum syarak, dan mengharamkannya untuk memiliki dan mengembangkan harta secara batil. Misalnya dengan cara merampas, merompak, mencuri, rasuah, riba, berjudi, berzina, homoseksual, menyembunyi kecacatan barang dagangan, berlaku curang dan menipu, menetapkan harga tinggi dengan tidak wajar, memproses dan menjual arak, mengeksploitasi tubuh wanita dan cara-cara lain yang telah diharamkan sebagai jalan untuk memiliki dan mengembangkan harta.

Semua itu merupakan sebab-sebab pemilikan dan pengembangan harta yang dilarang dalam Islam. Setiap harta yang diperoleh melalui jalan-jalan itu adalah haram dan tidak sah untuk dimiliki, malah pelakunya akan dikenakan uqubat.

Dengan demikian jelaslah bahawa kebebasan pemilikan harta itu tidak ada dalam ajaran Islam. Bahkan sebaliknya, Islam mewajibkan setiap Muslim untuk terikat dengan hukum-hukum syarak dalam hal kepemilikan, pengembangan dan pengelolaan harta. Seorang Muslim tidak boleh sama sekali melanggar hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

  • Kebebasan bertingkah laku

Mengenai kebebasan bertingkah laku, ertinya adalah kebebasan untuk terlepas daripada segala bentuk ikatan dan kebebasan untuk melepaskan diri daripada setiap nilai kerohanian, akhlak, dan kemanusiaan. Ia juga bererti kebebasan untuk memporak-perandakan keluarga dan untuk membubarkan atau melestarikan institusi keluarga. Kebebasan ini merupakan jenis kebebasan yang telah menimbulkan segala bentuk kebinasaan lainnya dan membolehkan segala sesuatu yang telah diharamkan oleh Islam.

Kebebasan inilah yang  telah menjerumuskan masyarakat Barat menjadi masyarakat binatang yang sangat memalukan dan membejatkan moral individu-individunya sampai ke darjat yang lebih hina daripada binatang ternak.

Kebebasan ini menetapkan bahawa setiap orang dalam perilaku dan kehidupan peribadinya berhak untuk berbuat apa saja sesuai dengan kehendaknya, sebebas-bebasnya, tanpa boleh ada larangan baik dari negara atau pihak lain terhadap perilaku yang disukainya. Idea kebebasan ini telah membolehkan seseorang untuk melakukan perzinaan, homoseksual, lesbianisme, meminum arak, bertelanjang, mendedahkan aurat dan  melakukan  perbuatan  apa  saja -walaupun sangat hina – dengan sebebas-bebasnya tanpa ada ikatan atau batasan, tanpa tekanan atau paksaan.

Hukum-hukum Islam sangat bertentangan dengan kebebasan bertingkah laku tersebut. Tidak ada kebebasan bertingkah laku dalam Islam. Seorang Muslim wajib terikat dengan perintah dan larangan Allah SWT dalam seluruh perbuatan dan tingkah lakunya. Haram baginya melakukan perbuatan yang diharamkan oleh Allah SWT. Jika dia mengerjakan suatu perbuatan yang diharamkan, bererti dia telah berdosa dan akan dijatuhi hukuman yang sangat keras.

Islam telah mengharamkan perzinaan, homoseksual, lesbianisme, minuman keras, mendedahkan aurat dan hal-hal lain yang boleh merosakkan. Bagi setiap perbuatan haram tersebut, Islam telah menetapkan uqubat (hukuman) sampai ke tahap hukuman mati, dan hukuman-hukuman lain yang tegas terhadap pelakunya agar dia serik dan tidak mahu mengulanginya lagi.

Islam memerintahkan setiap Muslim agar berakhlak mulia dan terpuji. Islam juga menjaga masyarakat agar menjadi masyarakat yang baik dan sangat memelihara kehormatannya serta penuh dengan nilai-nilai yang mulia.

***

Daripada seluruh penjelasan di atas, sangat jelas bahawa peradaban Barat, nilai-nilai Barat, pandangan hidup Barat, demokrasi Barat dan kebebasan individu, seluruhnya bertentangan secara total dengan hukum-hukum Islam.

Kesemuanya merupakan idea-idea, peradaban, peraturan dan undang-undang kufur. Oleh itu, adalah suatu kejahilan dan usaha penyesatan yang nyata jika ada yang mengatakan bahawa demokrasi itu adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Suatu kejahilan dan penyesatan yang nyata juga jika dikatakan bahawa demokrasi itu identik dengan sistem syura (mesyuarat) di dalam Islam atau identik dengan amar ma’ruf nahi munkar atau muhasabah terhadap penguasa.

Sedangkan syura, amar ma’ruf nahi munkar dan memuhasabah penguasa, adalah hukum-hukum syarak, yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, yang tidak ada kena mengena, malah berlainan sama sekali dengan demokrasi. Kaum muslimin telah diperintahkan untuk mengambil dan melaksanakannya dengan pertimbangan bahawa semua itu adalah hukum-hukum syarak semata-mata, tanpa perlu mengaitkannya, malah memang tidak ada kaitannya sama sekali dengan demokrasi.

Demokrasi bukanlah hukum syarak, bukan pula sebahagian daripada hukum syarak dan bukan berasal dari peraturan dan ketetapan Allah SWT. Demokrasi adalah sistem buatan manusia dan segala peraturan yang lahir daripadanya adalah yang lahir daripada akal manusia.

Demokrasi bukan syura, kerana syura adalah memberikan pendapat dalam koridor hukum syarak. Sedangkan demokrasi, sebenarnya merupakan suatu pandangan hidup dan sekumpulan ketentuan untuk seluruh perlembagaan, undang-undang dan peraturan, yang telah dibuat oleh manusia menurut akal mereka sendiri. Mereka menetapkan ketentuan-ketentuan itu berdasarkan kemaslahatan yang dipertimbangkan menurut akal, bukan menurut wahyu dari langit.

Oleh yang demikian, kaum Muslimin haram mengambil, menerapkan dan menyebarluaskan demokrasi serta mendirikan parti-parti politik yang berasaskan demokrasi. Haram pula bagi kaum Muslimin menjadikan demokrasi sebagai pandangan hidup dan menerapkannya atau menjadikannya sebagai asas bagi perlembagaan dan undang-undang atau sebagai sumber bagi perlembagaan dan undang-undang atau sebagai asas bagi sistem pendidikan dan penentuan tujuannya.

Kaum Muslimin wajib membuang demokrasi sejauh-jauhnya kerana demokrasi adalah najis dan merupakan hukum thaghut (selain Allah).

Demokrasi adalah sistem kufur, yang membawa pelbagai idea, peraturan dan undang-undang kufur. Demokrasi tidak ada hubungannya dengan Islam sama sekali.

Demikian pula, kaum Muslimin wajib menerapkan dan melaksanakan seluruh ajaran Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الهُدَى وَ يَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ المُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلِّى وَ نُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَ سَاءَتْ مَصِيْرًا

“Dan siapa sahaja yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang Mukmin, Kami biarkan mereka berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkannya ke dalam neraka Jahannam, dan Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali” [An-Nisa’ (4):115].

Wallahu a’lam.

[Disadur daripada kitab “Ad-Dimuqratiyyah Nidzam Kufr, Yahrumu Akhzuha, Au Tatbiquha Au Da’watu Ilaiha” (“Demokrasi Sistem Kufur, Haram Mengambilnya, Menerapkannya Dan Menyebarluaskannya” – Syeikh Abdul Qadim Zallum)]

Penulis / Sumber : religiku

BERBAGI